FAKULTI SENI HALUS, AKADEMI SENI, BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN (ASWARA)

Wednesday, July 13, 2011

MAFE: Hubungan Bina ‘Foot Bridge’ di Galeri ASWARA



MAFE: Hubungan Bina ‘Foot Bridge’ di Galeri ASWARA

Bagaimana agaknya pameran MAFE (Malaysia dan Perancis) ini terbina di Galeri ASWARA?, mungkin akan menjadi tanda tanya pada khalayak yang bakal mengunjungi pameran pada tingkat antarabangsa ini. Oleh itu, bisa saya mulakan bicara ini dengan melihat bagaimana MAFE ini terbina. Boleh saya katakan punya dua faktor yang memungkinkan pameran ini terbina, pertama – kewujudan Galeri ASWARA itu sendiri dan yang kedua- landasan yang dibina oleh gerakan ‘Foot Bridge’ yang bergerak secara halus.

Mengapa Galeri ASWARA ini dibina?, antara perkara yang menjadi tanda tanya pada saya sendiri. Adakah ingin bersaing dengan galeri mahupun Balai Seni Lukis Negara yang sudah sekian lama ada?. Untuk kepastian, segera diwawancara bersama Rektor ASWARA iaitu Dato’ Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa, nadanya Galeri ASWARA ini dibina atas landasan memberi ruang kepada para pelajar di Fakulti Seni Halus untuk mempamerkan hasil karya-karya semester akhir mereka, mungkin juga pada pelajar fakulti lainnya. Utamanya tambah Rektor ini, adalah sebagai sebuah ruang pendidikan kepada para pelajar bilamana pada setiap aktiviti mahupun pameran yang dibina di galeri ini akan menjadi panduan dan semangat motivasi pada diri pelajar-pelajar di ASWARA. Membicarakan Seni Rupa menjadi bahagian yang penting didalam mencerna dan membina budaya diskusi pada ruang galeri ini kelak. Bukanlah untuk besaing dengan mana-mana galeri lain ataupun BALAI tetapi entitinya lebih pada bersifat pendidikan, dan usaha ini yang dicuba dibinakan di Galeri ASWARA. Begitulah yang boleh dibicarakan sebaik mungkin akan kepentingan kewujudan galeri ini, secara kempennya ia lebih bersifat pendidikan secara unformal yang tidak diajarkan didalam bilik kuliah ASWARA. Seperti juga yang telah dibicarakan oleh Rohidi (1994), yang mana Ilmu pengetahuan yang diwariskan itu pula tidak bisa berlaku secara genetik melainkan ia harus melalui proses penerimaan dan perkongsian (belajar) secara formal, unformal mahupun non formal. Lantas untuk merealisasikan hasrat itu, ruang galeri ini harus dimanfaatkan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti pameran dan bengkel, berlanjutan itulah MAFE ini dirancangkan, diusahakan dan diadakan. Namun begitu, tidak mungkin MAFE ini muncul seperti magis melainkan ada satu hubungan sebelumnya.

‘Foot Bridge’, namanya agak aneh tetapi jikalau dibahasa melayukan mungkin menjadi Jambatan Tapak atau mungkin secara intepretasinya menjadi ‘jalan hubungan atas jambatan yang terbina’. Belum dijumpai lagi dalam mana-mana tulisan sejarah seni rupa yang biasa di tuliskan oleh penulis seperti T.K.Sabapathy, Zakaria Ali, Zainol Abidin Ahmad Shariff, Redza Piyadasa, Muliyadi Mahamood, (sekadar menyebut beberapa nama) berkaitan ‘Foot Bridge’ ini. Oleh itu tidak menjadi hal ataupun halangan kiranya mampu untuk membicarakan sedikit berkaitan kelompok ini sebelum wujudnya MAFE itu sendiri. Sumber utama saya merujuk adalah pada perupa Abdul Rani Majid, seorang yang cukup rendah diri tetapi punya semangat dan kepintaran dalam setiap bicaranya. Bermula dengan hubungan jalinan melalui pameran bersama seorang pelukis dari Perancis iaitu Aniff Hosanee di ruang pameran Mauritius Alliance Francaise Penang, Malaysia pada tahun 2002. Dari situ hubungan persahabatan itu diteruskan sehingga membawa Abd Rani ke Mauritius beberapa kali dan menjadikan Mauritius sebagai tempat beliau berkarya dan berpameran. Tidak cukup itu, Foot Bridge harus punya lebih ahli untuk merasakan kewujudannya dihargai, lalu kemasukkan perupa seperti Mohamed Najib Dawa dan Chong Hip Seng yang sebaris umur dengan Abd Rani telah lebih memberi makna pada kumpulan ini. Dengan adanya gagasan dari Rektor ASWARA ini yang juga ahli kumpulan telah berjaya meluaskan empayar Foot Bridge sehingga ahlinya juga meliputi perupa dari Thailand, Japan, Perancis ( Reunion Island dan Paris), Indonesia dan China. Dari sini juga perupa-perupa ini telah berjaya mengadakan pameran seni rupa di negara-negara tersebut hinggakan Foot Bridge ini menjadi sebuah kumpulan peringkat antarabangsa. Ketika kumpulan ini mencuba meletakkan nama mereka pada peringkat antarabangsa, Abd Rani lah yang acap kali membawa diri ke perancis sehingga ia membina hubungannya yang tersendiri disana, dari situ muncul pula keinginan kenalan perupanya di sana untuk mengadakan sebuah pameran bersama di Malaysia. Atas keyakinan tersebut dan hubungan yang sudah kian lama terjalin, Galeri ASWARA menjadi tempat pilihan perupa dari Perancis. Usaha itu ditambah murnikan dengan membawa masuk dua orang perupa yang merupakan tenaga pensyarah di Fakulti Seni Halus ASWARA iaitu Suzlee Ibrahim dan Ismadi Sallehudin, sementara Chong Hip Seng yang juga merupakan ahli Foot Bridge dan UTARA tidak ketinggalan untuk menyertai Abd Rani. Perupa dari Perancis pula adalah teman-teman Abd Rani iaitu R. Blancquart, Charliy Lesquelin, Audre BETON dan Aurell. Maka dengan gabungan perupa dari Malaysia dan Perancis inilah pameran MAFE ini diadakan untuk memperlihatkan hasil karya dari dua buah negara dengan entiti budayanya yang tersendiri. Mengapa 4 orang perupa dari Malaysia dan 4 orang Perupa dari Perancis, mungkin bisa saya perjelaskan bagaimana kehidupan itu yang penuh dengan keseimbangan, ada lelaki ada wanita, ada langit ada bumi, ada air ada api, begitulah keseimbangan yag secara lahiriah sudah wujud dalam diri manusia, perkara paling pokok adalah untuk sama-sama kita memahami dan menghayati hasil karya perupa dalam pameran ini.

Daripada kedua faktor yang telah dibicarakan berkaitan mengapa pameran ini wujud, dapatlah sama-sama kita fahami bagaimana tingkat sosial itu menjadi perkara paling pokok ketika usaha sesebuah aktiviti di jalankan. Disebabkan juga manusia itu hidup saling begantungan kerana tidak dapat hidup dan mengembangkan potensinya tanpa ada nya bantuan , tingkat sosial inilah yang menjadi panduan dalam meletakkan diri mereka sesuai dengan individu lainnya. Begitupun tingkat sosial ini bukan sahaja dapat difahami ketika bagaimana MAFE ini wujud, tetapi juga bisa dibicarakan pada fungsi visual yang telah lama di bicarakan oleh E.B. Feldmand. Feldman (1981), telah memecahkan fungsi visual kepada tiga bahagian ketika ia cuba untuk meletakkan kepentingan pengalaman seseorang (perupa) berlandaskan visual iaitu berfungsi secara personal, sosial dan fizikal . Mari kita cuba lihat pula pada hasil-hasil karya di dalam pameran ini, namun saya merasakan adalah agak klise dan terlalu ketat untuk membicarakan setiap perupa dan karya-karyanya satu persatu, oleh itu akan dicuba dilihat pada kecenderungan-kecenderungan umum yang dibina oleh perupa melalui hasil karya mereka.

Manusia, Alam dan lingkungannya sering menjadi dorongan dan pandangan kepada seseorang perupa ketika hasil karya dikreasikan. “Agar seni tidak mengalami perkembangan yang naïf, ia memerlukan estetika untuk menjelaskan dan mengutarakan pengalaman seni secara sistemis”, begitulah yang dipertegaskan oleh ahli semiotik S.K. Langer melalui penelitian A. Sudiarja (1983). Terus, estetik itu pula dikatakan muncul daripada simbol presentational yang juga dianggap lahir sebagai ekspresi perupa . Yang diciptakan adalah simbol-simbol berlandaskan sistem nilai, pengaruh persekitaran dan keperluan yang mampu memberi makna secara universal atau umum. Rohidi (2000) membicarakan bahawa yang dikatakan simbolis apabila ia dimainkan oleh pengamal hasil refleksi dari observasi kehidupan manusia lainnya dan disimbolkan semula didalam sesebuah karya agar tindakan itu mendapat dimensi yang universal. Terus, yang disimbolkan oleh ahli perupa itu juga merupakan ekspresi sebagai salah satu wadah estetik yang mana bertujuan sebagai komunikasi dan yang menghubungkan ekspresi pengkarya kepada peminat dan pengamat seni atas fungsinya pada bahagian sosial. Secara tegasnya apabila langer mendifiniskan seni sebagai kreasi bentuk-bentuk simbolis dari perasaan manusia, terus, untuk memahami hasil seni rupa ini, ekspresi menjadi penceritaan mahupun wadah yang dicipta dan dibentuk secara tampak dan realiti oleh pengkarya yang mana ia juga mampu memperlihatkan kebudayaan masyarakat yang dekat dengannya .

Alam – air, langit, gunung, padang, tanah antara kawasan yang mendudukkan manusia secara geografinya, dari situ dapat kita lihat bagaimana Suzlee Ibrahim dengan karya yang mula mencitrakan ‘Siri Sahara’. Sebelum ini dari Monsun yang membina ombak dengan warna-warna laut dan pasir, Suzlee mula merakamkan pula kegersangan Sahara dengan jalinan pasir-pasir kuning hasil nolstagia ketika mengunjungi Sahara. Kesan Ekspresinya dinyatakan pada setiap palitan warna-warna diatas kanvas, begitu juga dengan karya Aurell tetapi dilihat lebih terkawal berbanding Suzlee, setiap gerak garisnya yang meliputi pelbagai warna semacam diarahkan menuju keluar kanvas sebagai sebuah pandangan ‘multiple’. Berlainan pula dengan Abd Rani Majid yang acapkali menjelajah benua perancis dengan laluan udara/ langitnya, perupa ini membina imej-imej tradisinya seakan terapung pada permukaan kanvas. Ikan, kuda laut, burung merak, wayang kulit, wau yang diciptakan dengan garis-garis hitam melalui tradisi yang tidak mahu dilupakan hasil daripada pengalaman perupa ini sudah nyata terputus dari alam yang sebenar dan disitulah dikatakan bahawa hasil sesebuah karya sekurang-kurangnya terputus tiga kali dari kebenaran. Begitu juga boleh dilihat pada hasil karya Beton, terkesan dengan puisi, yang sudah kita fahami bahawa sesebuah puisi itu adalah penciptaan rasa jujur dan nyata tetapi bermain dgn kata-kata agar ianya dipadang sebagai sebuah estetik. Dari puisi-puisi yang dibacanya itulah dicuba divisualkan oleh Benton sebagai sebuah perlanjutan dari kejujuran dan kebenarannya kehidupan didalam dunia nyata. Pokok-pokok, sawah, lembu, manusia berpasangan sering pula menjadi imej dominan dalam karya-karya Chong Hip Seng. Perupa ini begitu kental mempertahankan nostalgia romantisnya sebagaimana Abd Rani, zaman perkampungan dengan kewujudan kerbau/lembu, tanaman sawah, pohon sawit, ayam itik dan sebagainya seakan sudah dilegimitasikan dalam dirinya. Mungkin bisa saja saya pinjam kata-kata Rohendi iaitu ia disebabkan ada masyarakat yang masih berpegang teguh pada nilai-nilai aturan lama dan tradisi lama yang telah sebati dalam jiwa mereka . Atas dasar itu juga tidak usahlah kita untuk mempertikaikan mengapa gaya mahupun imej tetap saja kekal walaupun berbelas mahupun berpuluh tahun mereka berkarya. Lain pulanya dengan Ismadi Sallehudin, perupa ini lebih gemar pada watak-watak manusia yang begitu dekat dan tidak asing bagi dirinya. Setiap karakter yang dijelmakan oleh perupa ini dicuba bentuk secara sinikal sesuai dengan watak keperibadian Ismadi sendiri. Sebagai seorang perupa, ismadi merupakan pemerhati yang cukup baik dalam mencuba menggarap unsur sinikal tersebut dan ia mengingatkan saya akan perkembangan penggunaan subjek figura Manusia dalam penghasilan sesebuah karya. Figura sebagai subjek kajian yang terawal dalam kesenian manusia, dari lukisan dinding gua, dari Venus of Willendorf diciptakan, dari figura dinding saiz gergasi zaman Mesir, dari masa Yunani menciptakan arca-arca figura manusia etlit, dari picasso memecahkan figura Les Demoiselles kepada bentukan kubisma dan hari ini, Ismadi pula memunculkan figura manusia pada permaknaan yang cukup abriterer, sikap manusia, tradisi dan moden, yang tua dan muda, yang kaya dan miskin, yang susah dan senang, yang berkuasa dan tidak semuanya memberi kesan yang tersendiri pada perupa ini sehingga mewujudkan watak-watak tersebut. Begitu juga pada karya arca Blancquart memperlihatkan susuk manusia dalam memperjuangkan sesuatu, beban yang dipikul pada gambaran arca tersebut seolah-olah cuba membicarakan akan kepentingan dan fungsi sebagai manusia dalam menyelusuri kehidupan itu harus pada perjuangan yang dirasakan begitu berat untuk diteruskan tetapi harus juga dipikul. Charly juga menjadikan manusia sebagai subjek dalam permasalahan karyanya, menjadi seorang penyajak sudah cukup untuk perupa ini membina persoalan-persoalan dalam karyanya berkaitan siapa itu manusia, atas sebab itu kita dapat lihat bagaimana perupa ini membina potret dengan kesan ragu pada setiap tampakkannya. Kegelisahan itu mungkin bisa juga kita pandang pada setiap nafas hela potret manusia dengan karakter yang agak kebingungan.

Begitulah serba sedikit dicuba untuk membicarakan hasil karya dalam pameran ini. Alam dan Manusia menjadi Lingkungan perupa dalam merefleksi setiap perkara yang dirasakan cukup terkesan pada mereka. Dari sinilah yang dikatakan pula setiap simbol itu diciptakan secara universal agar dapat dihayati secara bersama oleh para penghayat yang bisa ditanggapi sebagai sebuah didikan unformal. Atas pameran MAFE ini juga, dapat kita fahami bahawa ilmu pengetahuan bukan sahaja didasari oleh ilmu sains, matematik, ekonomi dan sepopular dengannya tetapi juga pada bidang Seni, dalam hal ini dibicarakan Seni Rupa menjadi bahagian pendidikan yang paling mustahak untuk kita sama-sama memahami antara satu sama lain dan mempelajari kehalusan nada perjuangan yang bersih tanpa senjata mahupun tikaman lidah. Nah! Satu peranan didikan yang besar telah dibina pada ruang Galeri ASWARA ini. Ayuh kita manfaatkannya dan semoga penulisan ini juga memberi manfaat buat para pembaca.

Ayuh! Terus Maju ASWARA!

Arham Azmi
Penulis Tamu
Julai 2011

No comments:

Post a Comment